Saturday, August 4, 2012

Permohonan Menurap Tar, Membersihkan Sungai & Menyediakan Tong Sampah Untuk Penduduk Kampung Jerlun

YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad (ADUN Air Hitam)
YB Dato' Mukhriz Mahathir (MP Jerlun )
YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (MB Kedah)
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
Datuk Seri Najib Razak ( Perdana Menteri Malaysia )

5hb OGOS 2012

Zulkifli Bin Yaacob
No 11, KM16 Jalan Putra
Kampung Jerlun
06150 Air Hitam
Kedah Darulaman.

YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz

Permohonan Menurap Tar, Membersihkan Sungai & Menyediakan Tong Sampah Untuk Penduduk Kampung Jerlun

Merujuk kepada perkara diatas, saya Zulkifli Bin Yaacob anak jati Kampung Jerlun ingin membuat permohonan dari pihak YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz untuk menyediakan sedikit budget bagi menaik taraf kemudahan asas seperti diatas untuk penduduk Kampung Jerlun.

YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz

Kampung Jerlun terletak didalam Kawasan Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, sebagai anak jati Kampung Jerlun yang dibesarkan dan mendapat persekolahan awal di kampung ini saya amat berbangga dengan kampung saya lebih-lebih lagi nama Parlimen Jerlun diambil sempena dengan kampung saya, dan yang lebih membanggakan lagi saya Parlimen Jerlun ini diwakili oleh seorang anak kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yang cukup saya kagumi. Walaupun kedua-dua orang tua saya telah meninggal dunia tetapi saya tetap akan pulang ke kampung sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk menziarahi ahli keluarga dan sahabat handal yang masih lagi ramai di Jerlun malah kawasan pengundian saya juga masih kekal di P005 (Jerlun ) dan N4 (Ayer Hitam) walaupun lebih 20 tahun saya meninggalkan Kampung Jerlun. Kebanggaan saya sebagai anak Jerlun cukup kuat, kemana sahaja saya pergi waima keluar negara sekalipun nama Jerlun kekal dalam sanubari saya, kelahiran blog peribadi saya juga tidak lepas dari mengaitkan dengan Jerlun http://www.thejourneyofanakjerlun.blogspot.com/2009_01_01_archive.html

YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz

Kepulangan saya ke Jerlun dewasa ini cukup membuat hati saya tersentuh, dikala tempat-tempat lain menikmati pembanggunan infrastuktur yang cukup serba serbi tapi Jerlun terkecuali. Keadaan jalan kampung seperti selepas peperangan, berlopak dan berlubang disana sini. Jalan utama untuk kegunaan penduduk kampung Jerlun bagi menjalankan aktiviti harian cukup mendukacitakan. Di kiri kanan jalan yang berlubang dan sempit itu di penuhi dengan pokok-pokok belukar yang cukup menyakit hati. Cukup sukar untuk kenderaan berselisih dan yang paling mendukacitakan adalah keadaan sungai di kampung Jerlun ini, sungai yang menjadi sumber air utama untuk petani-petani dikawasan Jerlun ini mengalir lesu ke muara kerana dipenuhi dengan tumbuhan “kemeling”, langsung tiada ruang untuk menampakkan permukaan air. Saya tidak mengharap sungai ini dinaik taraf seperti Venice River di Italy ataupun Amsterdam River di Holland yang sepenuhnya dibangunkan sebagai “River Cruise” untuk menarik pelancong tetapi sekurang-kurangnya kami yang sekali sekala pulang kekampung dapat menikmati satu panorama yang cukup cantik dan indah seperti dahulu. Tumbuhan “kemeling” di sungai ini perlu dilakukan sesuatu dan belukar tebing sungai ini perlu dibersihkan. Keadaan menjadi lebih parah bila sampah sarap turut dibuang ke sungai dan tebing sungai oleh penduduk setempat, hendak disalahkan kepada penduduk juga tidak adil kerana tiada tong sampah disediakan untuk mereka, jika ada pun mungkin satu biji itu pun ditempatkan di jalan raya utama.

YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz

Saya tidak pasti agensi mana yang patut bertanggungjawab tapi saya amat mengharap YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz dapat melakukan sesuatu untuk Kampung Jerlun ini, bagi kami anak-anak generasi ke -2 dan ke-3 Kampung Jerlun yang secara majoritinya cuma sekali sekala pulang ke Kampung Jerlun berharap nasib kampung kami berubah. Saya terkecuali dari mendapat BR1M ataupun bantuan-bantuan lain dari kerajaan, oleh itu sebagai rakyat Malaysia dan pembayar cukai tiada lain yang saya harapkan kecuali pembanggunan infrastuktur dapat dinikmati oleh kami.

Semoga permohonan saya ini mendapat perhatian dari pihak YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz. Saya sertakan gambar-gambar seperti di bawah untuk perhatian pihak YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz sekiranya YAB Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’/Ustaz tiada masa untuk datang menziarah kampung Jerlun.

Sekian,

Terima kasih.

_____________________
(ZULKIFLI BIN YAACOB)
PENGGUNDI P005 & N4